Pulau Pinang bakal menerima satu lagi resort mewah apabila InterContinental Penang Resort dijadualkan dibuka pada Disember 2026.
Terletak di Teluk Bahang, resort ini mengambil lokasi di kawasan pesisir yang lebih tenang, dikelilingi hutan hujan tropika dan menghadap Laut Andaman.
Kedudukannya juga menawarkan alternatif kepada pelancong yang mahu menikmati Pulau Pinang dalam suasana lebih santai, jauh daripada kesibukan George Town.
Resort pertama InterContinental berkonsep resort di Malaysia ini akan mempunyai 348 bilik dan suite, dengan pilihan penginapan yang turut menawarkan akses ke Club InterContinental untuk tetamu yang mahukan ruang lebih privasi serta perkhidmatan yang diperibadikan.
Reka bentuk resort mengambil inspirasi daripada persekitaran Teluk Bahang, dengan bilik dan suite menawarkan pemandangan ke arah Laut Andaman, taman atau kawasan kehijauan di sekitarnya.

Antara tarikan utama yang bakal menjadi sebahagian daripada pengalaman menginap ialah pilihan tempat makan yang mengetengahkan pelbagai pengaruh kulinari.
Resort ini akan mempunyai empat restoran dan bar, termasuk Sulam yang memberi fokus kepada masakan Peranakan, Paradiso untuk hidangan Itali dan SHINKA yang mengetengahkan sajian Nikkei. Coastal pula menawarkan pengalaman menjamu selera di lokasi menghadap laut.
Bagi mereka yang mahu memperlahankan rentak sepanjang percutian, Gemala Spa akan menyediakan pelbagai pengalaman wellness yang mengambil inspirasi daripada tradisi penyembuhan masyarakat berbilang budaya di Pulau Pinang, selain pendekatan kontemporari.
Kemudahan untuk keluarga turut disediakan menerusi Planet Trekkers Kids Club dan sebuah bilik permainan interaktif untuk golongan remaja.
Selain percutian, resort ini turut dilengkapi kemudahan untuk acara dan majlis, termasuk Grand Ballroom, bilik mesyuarat, boardroom serta kawasan laman terbuka. Ia dijangka sesuai untuk pelbagai acara, daripada sambutan peribadi hingga pertemuan korporat.
Dalam satu kenyataan media, Pengurus Besar InterContinental Penang Resort, Jeffrey Seward, memberitahu lokasi dan identiti Pulau Pinang menjadi antara elemen penting dalam pembangunan resort tersebut.
“Keistimewaan resort ini ialah bagaimana Penang dapat dirasai menerusi setiap bahagian pengalaman menginap,” katanya.
Beliau turut menyifatkan lokasi di Teluk Bahang sebagai peluang untuk tetamu menikmati sisi Pulau Pinang yang lebih tenang, termasuk meneroka kawasan pesisir, mencuba sajian Peranakan, menikmati matahari terbenam di Coastal dan berehat di Gemala Spa.
Pembukaan InterContinental Penang Resort pada Disember ini menambah satu lagi pilihan penginapan mewah di Pulau Pinang, khususnya bagi pelancong yang mencari gabungan pantai, alam semula jadi, makanan dan budaya dalam satu percutian.
InterContinental Penang Resort dijadualkan dibuka pada Disember 2026. Maklumat lanjut mengenai tempahan akan diumumkan kemudian.
Untuk tempahan dan maklumat lanjut, boleh layari https://www.intercontinental.com/hotels/us/en/reservation

