Kalau sudah sampai Korea Selatan, berapa hari biasanya cukup untuk Seoul?

Bagi sesetengah pengembara, seminggu pun terasa terlalu singkat. Ada terlalu banyak perkara mahu dilakukan, dari Myeongdong dan Hongdae, istana bersejarah, kafe-kafe cantik hinggalah lokasi yang sering muncul dalam drama Korea.

Namun, satu laporan baharu menunjukkan rakyat Malaysia sebenarnya mahu melihat lebih banyak. Bukan hanya meneroka Seoul.

Persoalannya, kenapa masih ramai yang tidak keluar dari ibu negara Korea Selatan ini?

Menurut laporan baharu Airbnb, 98 peratus rakyat Malaysia berminat untuk meneroka bahagian lain Korea Selatan pada masa akan datang, dengan Busan dan Jeju antara destinasi yang menjadi pilihan.

Lebih tiga perempat, iaitu 76 peratus, pula berkata kandungan Korea seperti filem, drama dan budaya popular memberi inspirasi kepada mereka untuk meneroka destinasi di luar Seoul.

Jeju pada musim sejuk
Salah satu tarikan di Jeju – Seongsan Ilchulbong (Sunrise Peak)

Ini menarik kerana Seoul masih begitu kuat tarikannya.

Malah, laporan Airbnb juga mendapati 67 peratus pengunjung menghabiskan sebahagian besar atau keseluruhan perjalanan mereka di Seoul, walaupun mempunyai keinginan untuk meneroka bahagian lain Korea Selatan.

Jadi, nampaknya masalahnya bukan kerana rakyat Malaysia tidak berminat untuk pergi lebih jauh.

Mereka cuma belum mempunyai cukup sebab, atau kemudahan untuk berbuat demikian.

Hampir separuh responden, iaitu 48 peratus, berkata mereka akan mengembara lebih jauh atau tinggal lebih lama jika lebih banyak pilihan penginapan tersedia di luar Seoul.

Dalam kalangan bakal pelancong yang memang berminat meneroka destinasi di luar ibu negara, 85 peratus pula mengatakan keputusan untuk berkunjung bergantung kepada ketersediaan penginapan yang sesuai.

Ini mungkin antara perkara yang akan mengubah cara rakyat Malaysia merancang percutian ke Korea Selatan pada masa akan datang.

Daripada menjadikan Seoul sebagai satu-satunya destinasi, semakin ramai mula melihat Korea sebagai sebuah negara yang mempunyai banyak wajah untuk diterokai.

Dan sebenarnya, budaya Korea sendiri yang membuka pintu kepada perubahan ini. K-pop, K-drama, makanan, kecantikan dan gaya hidup Korea sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan popular rakyat Malaysia.

Menurut Airbnb lagi, 77 peratus responden Malaysia berkata budaya Korea mempengaruhi keputusan atau minat mereka untuk melawat Korea Selatan, manakala 92 peratus menyatakan mereka mungkin berkunjung ke negara itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Bagi hampir separuh responden, kandungan Korea tertentu menjadi pencetus untuk mahu mengunjungi negara tersebut. K-pop, drama popular dan rancangan hiburan antara kandungan yang paling kerap disebut.

Tetapi selepas mengenali Korea melalui skrin, nampaknya keinginan untuk melihat negara itu secara lebih dekat turut berkembang.

94 peratus responden mengatakan mereka mementingkan pengalaman budaya tempatan yang asli. Malah, dalam kalangan mereka yang dipengaruhi K-pop, 94 peratus mahu meneroka pengalaman yang melangkaui K-pop ketika berada di Korea Selatan.

Haeundae Sky Capsule, Busan menjanjikan pengalaman manis untuk dibawa pulang
Kampung warna-warni yang terkenal di Busan – Gamcheon Culture Village

Ini menjadikan makanan, warisan budaya, alam semula jadi dan aktiviti luar antara pengalaman yang semakin menarik perhatian. Mungkin inilah sebabnya destinasi seperti Busan dan Jeju mula mendapat tempat dalam radar pelancong Malaysia.

Korea Selatan bukan lagi semata-mata tentang lokasi popular di Seoul yang sering muncul dalam media sosial. Ada keinginan untuk melihat sisi lain negara itu.

Ada yang mahu mengenali budaya tempatan, menikmati makanan di tempat asalnya, melihat alam semula jadi dan merasai pengalaman yang tidak semestinya boleh ditemui di tengah-tengah ibu negara. Perubahan ini turut dapat dilihat melalui trend carian.

Data dalaman Airbnb menunjukkan carian pengguna Malaysia untuk Korea Selatan meningkat lebih 25 peratus pada 2025 berbanding 2023. Dalam masa yang sama, generasi muda dilihat sangat dipengaruhi oleh budaya Korea. Sebanyak 39 peratus responden Gen Z cenderung mengutamakan aktiviti berkaitan K-pop dan hiburan ketika melancong.

Mereka juga lebih dua kali ganda cenderung berbanding Milenial untuk mengutamakan konsert, festival dan acara langsung, iaitu 23 peratus berbanding sembilan peratus.

Namun, tarikan sebenar Korea Selatan mungkin terletak pada apa yang berlaku selepas seseorang berhenti mengejar perkara yang sudah biasa dilihat.Sebuah drama mungkin membuat kita mahu melihat Seoul. Sebungkus makanan Korea mungkin membuat kita mahu merasai sendiri hidangan di sana.

Tetapi pengalaman berjalan di kawasan yang kurang dikenali, melihat kehidupan masyarakat tempatan dan meneroka destinasi di luar laluan biasa mungkin yang membuatkan seseorang mahu kembali semula.

Laporan Airbnb ini berdasarkan tinjauan terhadap 500 responden di Malaysia yang dijalankan antara 25 Mac hingga 7 April 2026. Jadi, jika Korea Selatan ada dalam senarai percutian anda, mungkin sudah tiba masa untuk melihat peta dengan lebih luas.

Seoul masih mempunyai banyak sebab untuk dikunjungi. Tetapi jika 98 peratus rakyat Malaysia sendiri sudah menyatakan keinginan untuk meneroka bahagian lain Korea Selatan, satu perkara nampaknya semakin jelas, percutian ke Korea mungkin tidak lama lagi bukan lagi sekadar tentang Seoul.

Mungkin untuk perjalanan seterusnya, Seoul cuma menjadi kota permulaan.

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah