Pertama kali menjejakkan kaki ke Pekanbaru, Indonesia telah membawa penulis ke salah sebuah rangkaian hotel yang terkenal dengan hospitaliti mengagumkan. Selama tiga hari dua malam, penulis melepaskan lelah di Aryaduta Pekanbaru sambil meneroka kota yang pernah menerima anugerah ‘Adipura’ pada 2011 kerana menjadi bandar terbersih.
Terletak di jalan utama yang menempatkan pentadbiran kerajaan, hotel sembilan tingkat ini menawarkan 158 bilik dan dua suite yang sesuai untuk pengembara kelas perniagaan mahupun mereka yang hanya ingin bersantai di kota ini.
Malah, ia juga sesuai untuk percutian keluarga memandangkan terdapat beberapa jenis bilik yang boleh menempatkan lebih daripada dua orang tetamu.
Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa bilik-bilik yang tersedia mempunyai keluasan yang selesa, sesuai dengan harganya.
Biarpun anda memilih kategori bilik yang paling ‘biasa’ iaitu superior, tidak perlu risau jika membawa banyak bagasi kerana pasti ada ruang untuk menempatkannya. Lain-lain jenis bilik yang tersedia ialah deluxe, executive deluxe, business suite, dan governor suite.
Peluang teroka kelazatan kulinari Pekanbaru
Hanya beberapa minit dari pusat bandar Aryaduta Pekanbaru menjanjikan peluang untuk anda meneroka kelazatan kulinari Pekanbaru. Ada banyak restoran atau ‘rumah makan’ yang boleh anda jejaki antaranya restoran Bebek Goreng Hj. Slamet yang popular dengan hidangan ayam dan itik goreng, dan ‘Pagi Sore’ yang menyediakan hidangan Nasi Padang yang menyelerakan.
Jika mahu lokasi selera yang lebih dekat, anda boleh berjalan kaki ke Atlas Coffee & Bike yang hanya 500 meter dari hotel. Kafe ini menyediakan pelbagai minuman dan makanan yang membuka selera. Satu lagi kafe yang berbaloi untuk dicuba ialah KOPYOR Café & Restaurant yang menghidangkan pelbagai makanan asli Indonesia dan hidangan fusion.
Kalau masih ‘malas’, makan sahaja di hotel. Ada beberapa plilihan menanti iaitu Kayu Api Bistro, Tirta Ayu Restaurant, dan Arya Lounge yang tak kalah jua rasa hidangannya. Tentang harga, tak perlu risau kerana masih mesra poket. Secawan kopi hitam berharga Rp25,000 dan sepinggan pisang bakar coklat keju pula berharga Rp45,000.
Jika kebetulan anda menginap di sini pada Jumaat dan Sabtu, bolehlah rebut promosi PROMO JUMAT SABTU yang dibawakan oleh Kayu Api Bistro.
Promosi makanan ini memberi peluang untuk anda menikmati makanan malam secara bufet sambil dihiburkan dengan persembahan nyanyian secara live. Sesi bermula dari jam 7 hingga 10 malam dan berharga Rp130,000 untuk seorang dewasa.
Untuk maklumat lanjut tentang Aryaduta Pekanbaru, anda boleh melayari laman web mereka di sini. Selain itu anda juga boleh ikuti mereka di Instagram @aryadutapekanbaru.