Sediakan light stick anda! ENHYPEN akan memulakan Minggu Fesyen Seoul pada bulan September 2023 dengan penginapan semalaman pertama di dunia di Dongdaemun Design Plaza (DDP), tumpuan fesyen di Seoul.

Kumpulan K-Pop ENHYPEN akan menjadi hos Airbnb dan menjemput dua tetamu bertuah untuk pratonton Minggu Fesyen Seoul dengan penginapan semalaman di DDP. 

Direka oleh arkitek terkenal Zaha Hadid, DDP adalah mercu tanda utama di ibu kota Korea Selatan, dan hab kepada lanskap reka bentuk, seni dan fesyen yang berkembang maju.

Ruang loteng tingkat atas telah diubah suai untuk meraikan minggu fesyen, dan tetamu akan berpeluang untuk menginap di atas pentas peragaan, serta mendapat pandangan pertama pada malam sebelum koleksi diperlihatkan dan Minggu Fesyen Seoul bermula.

Bilik persalinan di belakang pentas menawarkan pakaian berjenama daripada pereka fesyen Korea yang sedang meningkat naik dan paling inovatif untuk dicuba oleh tetamu.

Selain itu, tetamu juga akan menerima pas eksklusif ke Minggu Fesyen Seoul (termasuk tempat duduk barisan hadapan dengan beberapa nama terbesar dalam K-Fashion!).

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Airbnb dan DDP bagi memberi peluang kepada tetamu untuk melihat belakang tabir Minggu Fesyen Seoul seperti yang tidak pernah berlaku sebelum ini.”

“Bahkan, kami amat teruja menjadi sebahagian daripada gerakan K-Wave ini, dan berkongsi keajaiban muzik dan fesyen Korea dengan dunia, ” ujar ketua ENHYPEN, Jungwon.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Strategi di Airbnb, Nathan Blecharczyk, turut meluahkan keterujaan Airbnb dapat berkolaborasi dengan kumpulan popular itu.

“Saya teruja Airbnb telah bekerjasama dengan ENHYPEN, Seoul Design Foundation dan Kerajaan Metropolitan Seoul untuk mencipta pengalaman yang julung-julung kalinya diadakan ini di tengah-tengah hab kebudayaan Seoul.”

“Tawaran unik Airbnb di Korea Selatan, daripada hanok tradisional hingga struktur kontemporari seperti DDP, menyediakan ruang tersendiri untuk meneroka budaya menarik di pasaran yang dinamik ini,” ujar beliau.

Mengenai penginapan ini

Dua tetamu akan berpeluang untuk menginap semalaman* pada 4 September 2023 hanya pada harga USD14** (lebih kurang RM63**). Selain itu, mereka juga akan mendapat semua keistimewaan berikut.

  • Pas eksklusif ke Minggu Fesyen Seoul, termasuk tempat duduk barisan hadapan dengan beberapa nama terbesar dalam K-fesyen.
  • Akses ke pentas peragaan fesyen peribadi, latar pentas yang sempurna untuk mengambil swafoto Polaroid.
  • Video alu-aluan peribadi daripada ENHYPEN.
  • Penginapan dipilih susun yang dipenuhi dengan makanan ringan, minuman dan buku yang semuanya dipilih secara peribadi oleh ENHYPEN.
  • Pemberian dua Polaroid khas bertandatangan ENHYPEN di DDP.
  • Kapsul pakaian mereka sendiri, lengkap dengan karya pereka fesyen Korea yang semakin popular – dan baju untuk dibawa pulang!
  • Berjalan di atas dan meneroka bumbung beralun DDP bersama pemandu (guide), menghadap pemandangan meluas Dongdaemun yang bergaya dan jalan rayanya yang sibuk.

Cara untuk menempah

Peminat yang berminat dengan fesyen boleh memohon untuk menempah penginapan ini mulai Rabu, 24 Mei pada 7 pagi (waktu Malaysia) di airbnb.com/ddp. Tetamu bertanggungjawab untuk perjalanan mereka sendiri ke dan dari Seoul.

Kakitangan di lokasi juga akan mematuhi peraturan dan garis panduan tempatan semasa di lokasi, dan akan mematuhi proses pembersihan lima langkah kami yang dipertingkatkan.

Berminat menjadi hos Airbnb? Ketahui lebih lanjut di airbnb.com/host.

*Penginapan satu malam ini tersedia untuk seorang peserta dan rakan tetamu mereka, dan ia bukan satu pertandingan.

**Ditambah cukai dan yuran

Airbnb sedang memantau kadar jangkitan COVID-19 dan polisi kerajaan Korea dengan teliti dan akan menawarkan bayaran balik yuran tempahan (USD14) dan kredit perjalanan Airbnb USD1,000 kepada tetamu yang menempah jika Airbnb mendapati terdapat keperluan untuk membatalkan penginapan ini.

Share:
, , , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah