Tart dengan sapuan glaze sempurna, mille-feuille berlapis halus, atau kek yang memukau mampu mencuri perhatian di mana-mana tingkap patiseri. Namun, di sebalik karya seni yang boleh dimakan ini tersembunyi kisah ketelitian, ketahanan, dan kreativiti yang berterusan.

Ketika kita melayari media sosial yang penuh dengan pencuci mulut yang menyelerakan atau menikmati sajian buatan tangan, hanya segelintir sahaja yang mengetahui betapa sukarnya perjalanan di sebalik pembuatan hidangan ini.

Chef Pai Hau, seorang alumni Academy of Pastry & Culinary Arts (APCA) dan chef pastri berpengalaman di hotel bertaraf lima bintang, membawa kita mengintai kehidupan di sebalik tabir seorang chef pastri—peranan yang mencabar tetapi juga memuaskan.

Pecah Tradisi dengan Ciptaan Pastri


Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, laluan kerjaya tradisional seperti perubatan, undang-undang, dan kejuruteraan telah lama menjadi pilihan utama. Namun, dengan kebangkitan ‘fine dining’, trend kulinari global, dan pengaruh media sosial yang tidak dapat dinafikan, bidang pembuatan pastri semakin menarik perhatian golongan anak muda Malaysia yang ingin meneroka kerjaya yang kreatif dan di luar kebiasaan.

“Saya berasa gembira apabila melihat lebih ramai anak muda menunjukkan minat terhadap seni kulinari. Media sosial memainkan peranan besar dalam menjadikan bidang ini lebih menarik dan mudah didekati. Namun, di sebalik segala keindahan, terdapat banyak kerja keras dan dedikasi yang sering tidak terlihat,” kongsi Chef Pai Hau.

Jadi, apa sebenarnya yang diperlukan untuk menjadi seorang chef pastri? Berikut adalah beberapa pandangan menarik tentang dunia chef pastri yang mungkin akan mengejutkan anda.

4 Fakta Menarik Mengenai Chef Pastri Yang (Mungkin) Anda Tidak Tahu

1. Gaya Hidup yang (tidak begitu) Glamor
Anda fikir membuat pastri hanya sekadar menyapu frosting dengan elegan atau mengacau adunan dengan santai? Fikir semula. Chef pastri bekerja dalam tempoh masa yang panjang, selalunya bermula sebelum matahari terbit, di dapur yang panas dan sibuk. Kerjaya ini memerlukan anda berdiri selama berjam-jam, menguruskan tugasan yang sensitif masa, dan menyempurnakan perincian yang rumit di bawah tekanan yang tinggi.

“Anda bukan sekadar menghias kek di dapur yang tenang; anda berpeluh di hadapan ketuhar, berlumba dengan masa, dan menyempurnakan walau sekecil-kecil perincian,” kata Chef Pai Hau. Walaupun tuntutan fizikalnya tinggi, ganjaran yang diperoleh menjadikannya berbaloi. “Kegembiraan mencipta sesuatu yang indah dan lazat untuk orang lain jauh melebihi cabarannya,” tambah beliau.

2. Pembuatan Pastri Adalah Seni DAN Sains
Pernah ke anda fikir menjadi seorang chef pastri adalah cara untuk lari daripada hal akademik? Tidak sama sekali. Pada dasarnya, pembuatan pastri adalah sains. Ia memerlukan ketelitian dalam sukatan, suhu, dan masa. Cangkerang macaron yang sempurna atau croissant yang berlapis bukanlah kebetulan—ia adalah hasil pemahaman tentang tindak balas kimia dan fizik.

“Setiap bahan berinteraksi dengan cara yang berbeza, dan memahami perbezaan ini adalah kunci. Setelah anda menguasai aspek teknikal, sisi seni dalam pembuatan pastri akan benar-benar menyerlah. Latihan dan kelayakan yang betul daripada institusi yang diiktiraf seperti APCA membantu membina asas yang kukuh, mengajar pelajar untuk mengimbangi sains dan kreativiti di samping mengasah gaya unik mereka,” jelas Chef Pai Hau.

3. Koordinasi Tangan dan Mata: Senjata Rahsia Seorang Chef Pastri
Chef mungkin tidak bersaing di arena sukan, tetapi koordinasi tangan dan mata mereka setanding dengan atlet. Ketelitian adalah segalanya apabila anda menghiris doh yang sangat nipis atau menghias pencuci mulut dengan frosting yang rumit.

“Perhatian terhadap perincian adalah apa yang membezakan chef yang baik daripada yang hebat,” kata Chef Pai Hau. “Selain kreativiti, kemahiran ini amat penting untuk keselamatan—membantu chef mengendalikan pisau tajam, kuali panas, dan peralatan dapur yang berat tanpa sebarang insiden.”

4. Kekal Tenang Menghadapi Tekanan Dapur
Ada sebab kenapa ungkapan “Jika anda tidak tahan panas, keluar dari dapur” wujud. Dapur pastri adalah persekitaran yang sangat mencabar, penuh dengan tarikh akhir, jangkaan tinggi, dan keperluan ketelitian yang berterusan. Chef perlu mengekalkan ketenangan walaupun dalam situasi yang tertekan, memastikan pasukan mereka kekal bermotivasi dan hasil kerja mereka konsisten.

“Pembuatan pastri mengajar anda kesabaran dan fokus. Ketuhar tidak akan menunggu anda, begitu juga pelanggan. Berkekalan tenang dapat memastikan semuanya dilakukan dengan sempurna, walaupun di bawah tekanan tarikh akhir yang ketat,” kongsi Chef Pai Hau.

Ganjaran Manis
Meskipun penuh cabaran, kerjaya ini menawarkan kepuasan yang tiada tandingan. “Bagi saya, kegembiraan terletak apabila melihat orang menikmati pencuci mulut yang saya hasilkan,” kongsi Chef Pai Hau. Proses menukar idea menjadi sesuatu yang nyata—dan lazat—adalah pengalaman yang memuaskan dan ajaib.

Nasihat beliau kepada chef pastri yang bercita-cita tinggi? Kekal rendah hati dan jangan pernah berhenti belajar. “Dunia kulinari sentiasa berkembang. Amalkan sikap terbuka terhadap teknik baharu, terimalah kesilapan, dan pelajari sesuatu daripada setiap pengalaman.”

Apabila lebih ramai anak muda Malaysia menerokai peluang dalam bidang pembuatan pastri, kerjaya ini semakin menyingkirkan label “tidak konvensional” dan mula diiktiraf sebagai pilihan kerjaya yang berdaya maju dan menarik. Bagi mereka yang mempunyai minat terhadap makanan serta bakat dalam kreativiti, memulakan perjalanan anda dengan institusi yang diiktiraf seperti APCA adalah langkah penting. Dengan latihan praktikal dan penekanan terhadap pembangunan kemahiran kompetitif, ia akan membekalkan chef yang bercita-cita tinggi dengan asas yang kukuh untuk berjaya dalam bidang yang dinamik ini.

Jadi, jika anda pernah bercita-cita untuk mencipta pencuci mulut yang indah dan menjadikannya sebuah kerjaya, kini adalah masa yang sesuai untuk mengambil langkah pertama. Dunia pastri menanti anda!

Share:
, , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah