Menu
Gaya & Culture

BIHZHU LANCARKAN VIDEO MUZIK DAN MINI DOKUMENTARI BERTAJUK ‘CHENDERING’ SUMBANGAN BUAT EKONOMI KREATIF MALAYSIA

Setelah mengharungi pelbagai cabaran, Bihzhu kini tampil dengan pelancaran video muzik untuk single terbarunya yang dinamakan Chendering – lagu yang telah dicipta oleh salah seorang komposer paling prolifik di Malaysia, Jimmy Boyle. Diarahkan oleh Chris Lim, penggambaran video ini telah dijalankan di dua lokasi berbeza serta mengambil masa selama dua hari. “Kami terpaksa menunda penggambaran video sehingga setahun dan juga mengubah konsep beberapa kali disebabkan oleh kekangan yang kami lalui akibat pandemik yang berlarutan. Idea asal adalah untuk membuat penggambaran di Pantai Chendering sempena tajuk lagu, tetapi ketika itu, risiko yang perlu ditanggung adalah terlalu tinggi. Oleh itu kami terpaksa membuat perancangan baru untuk memastikan elemen keselamatan dan sekuriti diutamakan. Saya amat berterima kasih kepada Chris Lim dan seluruh krew yang terbabit kerana mereka telah dapat menjayakan projek ini dan menghasilkan video yang amat cantik bersesuaian dengan lagu yang sangat istimewa ini,” ujar Bihzhu.

Chendering telah diilhamkan dan ditulis pada tahun 1943; dan ia telah menarik perhatian Bihzhu pada 2016 apabila dia dijemput untuk mempersembahkan lagu tersebut oleh Penang House of Music, sebuah muzium/galeri yang fokus mengumpul serta mempamerkan sejarah muzik dan Pulau Pinang bermula dari awal 1900 sehingga kini. Menurut Bihzhu, “Saya masih ingat dengan jelas peristiwa tersebut. Pihak Penang House of Music telah menjemput saya untuk membuat persembahan bersama James Boyle, yang kebetulan merupakan anak kepada Jimmy Boyle. Malangnya, James tidak sempat untuk menemui bapanya kerana Jimmy Boyle telah meninggal dunia semasa James masih di dalam kandungan ibunya. Saya mendengar lagu Chendering untuk kali pertama ketika itu dan secara jujurnya, saya mengakui bahawa sebelum ini saya memang tidak mengenali Jimmy Boyle, walaupun kami sama-sama berasal dari Pulau Pinang.”

Semasa membantu Penang House of Music untuk menyelidik dan mendokumentasikan mengenai sejarah muzik tempatan, Bihzhu telah memperolehi lebih banyak maklumat mengenai Jimmy Boyle. Dia merasa terkilan apabila menyedari bahawa kehadiran dan sumbangan ikon penting dalam sejarah muzik Malaysia seperti Jimmy Boyle tidak pernah diajar di sekolah, justeru rakyat Malaysia pada umumnya tidak mengetahui tentang kekayaan warisan mereka sendiri. “Saya rasa bagaikan satu tanggungjawab untuk memperkenalkan lagu ini kepada penonton dan peminat muzik secara amnya.

Seterusnya, saya telah meminta persetujuan dari James untuk membenarkan kumpulan saya menyusun semula muzik Chendering untuk tujuan rakaman. Kumpulan saya (yang terdiri daripada Jude Macson Bensing, Nish Tham, Shakey Shakey dan Ryan Lee Bhaskaran) telah bekerja keras untuk memastikan agar gubahan yang dihasilkan sedap didengar dan bersesuaian dengan integritinya, dan kami telah menghantar produk akhir kepada James untuk didengari. Dia berpuas hati serta memberi sokongan penuh kepada kami. James juga ada memberitahu kami bahawa dia merasakan ini adalah cara yang betul untuk memperkenalkan gubahan indah bapanya kepada generasi baru,” kata Bihzhu.

Pada Disember 2016, Bihzhu diberi peluang untuk menyanyikan Chendering sekali lagi bersama James, kali ini di Festival Muzik Pulau Pinang. Di kalangan penonton yang hadir, di barisan hadapan adalah seorang pengkritik muzik yang bernama Ian Patterson dari allaboutjazz.com. Di dalam sebuah artikel nukilannya, beliau telah menulis, “Lagu indah Chendering oleh Bihzhu dan (James) Boyle – menampilkan deringan simbal yang berbunyi bak bayu laut, yang bisa mengalirkan air mata sang algojo.”

Video muzik berdurasi empat minit penuh sofistikated ini menampilkan Bihzhu dalam gaun merah yang amat menawan. “Kami mahu video ini melengkapkan lagu itu, dengan membawa irama klasik ke dalam dunia kontemporari. Kami telah mengkaji gambar lama Jimmy Boyle dan memberi penghormatan kepada kumpulannya melalui pakaian yang digayakan oleh kumpulan muzik Bihzhu. Dan kerana lagu ini merupakan versi surreal bagi lagu original tersebut, kami telah mencerminkan unsur-unsur surreal melalui kehadiran rama-rama, aspek dandanan dan juga segmen-segmen yang melibatkan air. Chendering mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana pasukan saya terpaksa melalui pelbagai cabaran untuk melaksanakan projek ini.

Walaupun ia bukan mudah, namun ternyata ini merupakan salah satu pengalaman yang tidak dapat saya dilupakan”, jelas Chris Lim, yang merupakan pengarah yang berpengalaman dalam penghasilan video muzik serta iklan. Mengiringi muzik video ini ialah dokumentari pendek mengenai Chendering yang diterbitkan oleh Bihzhu untuk menjelaskan lagi latar belakang lagu tersebut. Dokumentari ini juga memaparkan wawancara bersama Linny Boyle – isteri Jimmy Boyle, anak mereka James Boyle dan pemain bassnya, Ee Fook Sin. “Ini sesuatu yang penting bagi kami, kerana kami ingin peminat muzik mengenali siapa lelaki berbakat di sebalik lagu ini. Kami juga ingin mereka ketahui proses ideation di dalam proses pembikinan video ini. Ini seakan satu lingkaran yang sempurna bagi kami kerana dengan mempersembahkan projek ini kepada penonton tempatan dan global, kami berharap agar dapat membuatkan Jimmy Boyle dan keluarganya bangga dengan hasil kerja kami. Dengan rasa rendah hati, kami turut berharap sumbangan kecil kami ini dapat membantu dalam meneruskan legasi muzik dan budaya komposer legenda ini”, jelas Bihzhu.

Muzik video serta mini dokumentari Chendering boleh ditonton di platform YouTube di pautan berikut:
https://www.youtube.com/watch?v=uAaMyF3m9Jg
https://www.youtube.com/watch?v=tbCqfFvbIso

No Comments

    Leave a Reply