Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor akan melancarkan Festival Sawah Padi Sekinchan 2025, yang juga merupakan festival sawah padi pertama seumpamanya di Malaysia.
Festival ini akan berlangsung selama dua hari pada 26 hingga 27 April 2025 bertempat di Terminal Sekinchan, Sabak Bernam bagi memperkasa pembangunan agro-pelancongan, apresiasi terhadap warisan budaya dan pemerkasaan ekonomi komuniti luar bandar.
Sebagai festival pertama bertemakan sawah padi di negara ini, inisiatif ini meletakkan Sekinchan dan Selangor sebagai pelopor dalam memacu pelancongan luar bandar yang inklusif, lestari dan berasaskan pengalaman.


Antara tarikan utama yang menanti pengunjung termasuk Larian Sawah Padi (5KM & 10KM), Festival Makanan oleh U-PLATS, Pasar Palong, Travel Hunt Sekinchan, Pameran Pelancongan, Persembahan Seni Budaya oleh Kumpulan Tempatan, Cabaran Pacuan Empat Roda, Pemeriksaan Kesihatan Percuma oleh KPJ Healthcare, Tram Sawah Padi, Glamping oleh Anbot Store dan pelbagai lagi aktiviti menarik.
Festival ini akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, bersama YB Dato’ Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, serta mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik dan pemain industri pelancongan negeri.
YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata, “Festival Sawah Padi Sekinchan 2025 merupakan platform penting untuk merancakkan pelancongan luar bandar sejajar dengan kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

Kami yakin bahawa kerjasama strategik bersama komuniti setempat akan memperkukuh ekonomi negeri dan mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan yang unik dan berdaya saing.”
YB Dato’ Ng Suee Lim turut menambah, “Sekinchan bukan sekadar kawasan jelapang padi, malah menjadi simbol keharmonian antara alam semula jadi dan budaya.
Festival ini mampu menarik pelancong tempatan dan antarabangsa untuk merasai sendiri keunikan agro-pelancongan di Selangor. Sasaran kami adalah untuk menerima lebih daripada 13,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran festival ini.”

