Di Malaysia konsep ‘inap desa’ telah lama diperkenalkan dan diterima baik oleh para pelancong tempatan dan luar negara.
Ia merujuk kepada rumah-rumah yang terletak di kawasan kampung atau desa yang boleh disewakan untuk satu tempoh tertentu. Rumah-rumah penginapan ini biasanya turut didiami oleh tuan punya rumah yang merupakan keluarga ‘angkat’ sepanjang penginapan. Mereka mungkin tidak tinggal di dalam rumah yang sama tapi biasanya tinggal di rumah lain yang berdekatan, bersebelahan atau mungkin juga di satu bahagian tambahan lain dalam rumah yang diinap.(Semua bergantung kepada situasi dan keadaan)
Seperti beberapa rumah berkonsep sedemikian di Eropah dan pelusuk lain dunia, inap desa di Malaysia menawarkan kehidupan kampung yang asli.
Salah satu lokasi terbaik untuk mengalami penginapan seperti yang dimaksudkan adalah di inap desa Kampung Sarang Buaya yang terletak di Muar, Johor.

Sungguhpun kedudukannya di Muar, namun Kampung Sarang Buaya sebenarnya berada di sempadan daerah Muar dan Batu Pahat.
Perjalanan ke sana hanya mengambil masa sekitar tiga jam lebih dari Kuala Lumpur. Dan semakin dekat perjalanan ke sana, para pengunjung akan dapat melihat keindahan alam semula jadi yang menakjubkan.
Setibanya di situ, para pengunjung akan disambut meriah oleh para penduduk kampung dan keluarga angkat yang terlibat.
Tiada sambutan yang lebih baik selain sajian makanan tradisional yang boleh dikongsi bersama. Oleh kerana majoriti penduduk Kampung Sarang Buaya berketurunan Jawa, hidangan khas mereka merupakan ‘Nasi Ambeng’.

‘Nasi Ambeng’ adalah sajian tradisional yang terdiri daripada nasi, mi goreng, ayam, serta sayuran yang dihidangkan bersama-sama dalam sebuah dulang bulat yang besar. Makanan dalam dulang ini kemudian akan dikongsi berama-ramai mengikut jumlah makanan yang tersedia. Biasanya, satu dulang boleh dikongsi di antara empat hingga enam orang.
Tujuan berkongsi satu dulang yang besar ini melambangkan hubungan rapat kekeluargaan dengan cara duduk serta makan bersama menggunakan dulang yang serupa. Ia lebih istimewa kerana semua yang makan menggunakan tangan selain berkongsi bahagian masing-masing sambil menghirup minuman kelapa kampung yang segar.
Sungguhpun lantai dapur adalah tempat makan umum orang Melayu tradisional yang tinggal di kampung, ada juga desa yang membina penanggah khas buatan kayu di luar rumah untuk kegunaan penyediaan makanan dan menjamu selera bersama.
Salah satu rumah inap desa yang menyerlah di Kampung Sarang Buaya adalah Teratak Kasih Nilam. Sekali imbas, ia seperti rumah-rumah kampung yang sering kita lihat di media massa, dengan sedikit penyesuaian kontemporari.

Dilengkapi ruang tamu, bilik tidur, dan bilik mandi dengan air pancuran dan tandas sempurna, ia memenuhi segala keperluan tamu yang menginap.
Ditambah pula dengan kedudukannya yang strategik di tengah desa, pelbagai aktiviti tertumpu di sini.
Sebagai contoh, di sebelah Teratak Kasih Nilam, para tamu boleh menyaksikan proses pembuatan dodol yang diusahakan oleh salah seorang penduduk kampung tersebut.
Malah, desa ini juga terkenal dengan ajnas barangan tempatan termasuk kopi. Beberapa minit perjalanan dengan menaiki kereta dari Teratak Kasih Nilam, terdapat sebuah kilang kopi yang bernama Kopi Ajes. Juga dimiliki penduduk tempatan, ia menghasilkan kopi untuk jualan. Selain kilang kopinya, ia turut mempunyai kafe tersendiri bernama Kupi Nang yang menjual aneka minuman di samping kopi tempatan.



Selesai menghirup kopi, jangan lupa mencuba aktiviti berkayak yang terletak betul-betul di sungai di belakang Teratak Kasih Nilam. Ya, mereka turut menyediakan kayak buat tamu yang ingin menikmati keindahan dan suasana desa yang ada di situ.

Namun teraju utama Kampung Sarang Buaya adalah kawasan sawah bendang yang terletak tidak jauh dari pusat desa. Dengan menaiki kereta dari Teratak Kasih Nilam, para tamu boleh melawat kawasan Sawah Sungai Balang, yang juga menempatkan sebuah lagi rumah inap desa yang tersergam di sebelah tebaran sawah padi yang indah.


Susuri laluan di sini sambil menanti matahari terbenam dan abadikan detik-detik indah dalam bentuk gambar dan video untuk kenang-kenangan. Kami yakin, anda tidak akan puas dengan pemandangan menakjubkan tersebut.


Sebaik sahaja malam melabuhkan tirainya, pastikan anda menikmati makan malam bersama keluarga angkat anda sebelum menonton persembahan Pencak Silat yang hebat oleh para pemuda dan pemudi tempatan.

Selesai melihat aksi-aksi lincah tadi, sambung waktu anda dengan bermain pelbagai permainan tradisional seperti congkak dan batu Seremban di ruang tamu rumah inap desa anda sambil berbaju tidur (seperti di kampung sendiri)!
Pada keesokan hari pula, luangkan masa untuk melawat D’Impian Agro Farm, sebuah ladang pertanian yang kini menjadi tarikan pelancong.
Di sini para pengunjung dapat melihat haiwan seperti di sebuah zoo mini. Biarpun, haiwan-haiwan di situ diternak untuk tujuan komersial, para tamu boleh sama-sama memberikan makanan dengan bantuan pemandu pelancong.


Dari arnab-arnab comel hinggalah kambing, biri-biri, kuda, rusa dan juga burung unta, semua haiwan ini dapat didekati sambil mempelajari cara-cara menternak serta membelanya dengan betul.
Selain itu, para pelawat juga dapat melihat cara sayur-sayuran ditanam dan dijaga untuk tujuan jualan. Di situ juga ada kawasan khas untuk belajar memanah bagi mereka yang berminat!

Jelas sekali, percutian inap desa jauh berbeza dengan percutian di resort dan hotel namun pengalamannya sangat menarik dan kadang lebih menyeronokkan.
Jadi, jika anda gemarkan liburan yang lebih mesra-kocek di perdesaan Malaysia, percutian inap desa ini mungkin sesuai untuk anda!
Untuk maklumat lanjut sila hubungi +60 11-3978 8817