Setelah mengundang kecaman demi kecaman, pusat beli belah yang baru dibuka seminggu, Sunway Square Mall menarik balik polisi membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan ke dalam premis berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun media sosialnya, pusat membeli belah itu menjelaskan bahawa keputusan tersebut diambil selari dengan kenyataan yang dibuat Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim yang mengatakan haiwan peliharan tidak dibenarkan berada di dalam pusat beli belah di negeri berkenaan.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikongsi kepada orang awam:

“Susulan arahan kerajaan negeri yang ditegaskan semula oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Ng Suee Lim, Sunway Square Mall telah mengemas kini polisi haiwan peliharaannya dan ia berkuatkuasa serta-merta.

Selaras dengan arahan tersebut, haiwan peliharaan tidak dibenarkan berada di dalam kawasan dalaman tertutup Sunway Square Mall bagi memastikan persekitaran yang selamat, bersih dan selesa untuk semua pengunjung.

Haiwan peliharaan hanya dibenarkan berada di kawasan luar yang telah ditetapkan, iaitu taman mesra haiwan peliharaan (Squirrel’s Playground) yang terletak di Sunway South Quay Lake.

Haiwan peliharaan juga dibenarkan menemani pemiliknya semasa pergerakan antara kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah (B3 dan B4) ke kawasan luar yang ditetapkan, tertakluk kepada pengawasan serta panduan daripada pasukan keselamatan kami.

Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan merakamkan penghargaan atas kefahaman serta kerjasama komuniti. Langkah ini diambil bagi memastikan pematuhan terhadap arahan negeri, di samping mengekalkan persekitaran yang selamat dan selesa untuk semua pengunjung.” – SUNWAY SQUARE MALL

Diharapkan perkembangan terkini ini dapat melegakan semua pihak. Orang awam dinasihatkan supaya merujuk kepada saluran rasmi Sunway Square Mall bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini. Sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat tidak sahih adalah tidak digalakkan bagi mengelakkan kekeliruan awam.

Share:
You may also like
Latest Posts from Travellah