Ada perjalanan yang mengubah cara kita melihat dunia, dan ada juga perjalanan yang perlahan-lahan mengubah cara kita melihat diri sendiri. The Orchid Journey, sebuah siri travelog inspirasi terbitan Skyhill Clinic, hadir sebagai gabungan kedua-duanya. Sebuah pengembaraan yang cantik pada visualnya, tetapi jauh lebih indah pada makna yang ditinggalkan.
Menampilkan tiga wanita hebat Malaysia, Dr. Linda Mat Hassin, doktor perubatan yang terlatih dalam bidang perawatan hormon dan wanita, Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, Guru Kerohanian dan Personaliti Dakwah, serta Datuk Dr. Faridah Hanim Haron, Guru Kepimpinan dan Pembangunan Organisasi, siri ini merakam perjalanan mereka di Tokyo dan Bandung.
Dua destinasi yang berbeza budaya, namun sama-sama menjadi latar untuk perbualan yang mendalam tentang kehidupan wanita moden.
Siri ini bukan sekadar sebuah dokumentasi pelancongan, tetapi satu pencarian ilmu, kekuatan dalaman dan nilai spiritual dalam dunia moden yang serba pantas dan mencabar.
Dalam setiap episod, penonton akan dihidangkan dengan perbincangan dan refleksi mendalam tentang kepimpinan wanita, tekanan hidup, keseimbangan hormon, kesihatan mental dan emosi, serta peranan Muslimah dalam kerjaya dan keluarga.
Dari Gunung Fuji yang mendamaikan hinggalah ke Paris van Java, Bandung , perjalanan ini bukan sekadar menjelajah kota, ia adalah ruang untuk berhenti sebentar daripada kesibukan hidup, mengamati kembali diri sendiri, dan menyedari bahawa setiap wanita berlari dalam dua dunia, dunia produktiviti yang tak pernah berhenti, dan dunia jiwa yang perlahan-lahan meminta untuk dibelai.
Apa yang membuat The Orchid Journey terasa begitu dekat adalah kejujuran kata-kata yang dikongsi dalam setiap episod. Tiada bahasa yang terlalu berat, tiada syarahan, hanya tiga wanita yang berkongsi pengalaman, kadang tegas, kadang lembut, tetapi ia memberi inspirasi.
Rakaman sinematografi yang memukau membuatkan penonton merasakan seolah-olah mereka turut serta berjalan di sisi ketiga-tiga figura ini, melihat dunia dari mata yang lebih tenang dan lebih sedar.
“Wanita hari ini hidup di antara dua dunia, satu dunia yang menuntut produktiviti dan prestasi, dan satu lagi dunia jiwa dalaman yang mendambakan ketenangan dan makna. The Orchid Journey adalah jambatan antara keduanya, ” ujar Dr. Linda Mat Hassin, selaku penerbit eksekutif dan penggerak utama siri ini.

Siri ini turut disokong oleh barisan penaja yang berkongsi misi memperkasakan wanita: Skyhill Clinic sebagai peneraju projek, disertai Siti Khadijah, AMPAC, MedikGO, Linheal, Casalwa dan Brainy Bunch.
Kerjasama ini bukan sekadar soal penajaan, tetapi simbol komitmen untuk membawa ilmu, kesihatan dan spiritualiti ke hadapan dengan cara yang profesional dan penuh nilai.
Dalam sidang media baru-baru ini, turut diumumkan perlantikan Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa sebagai Ikon Syariah Skyhill Clinic, manakala Datuk Dr. Faridah Hanim Haron sebagai Penasihat Korporat, memperkukuh lagi sinergi antara ilmu, profesionalisme dan keindahan perjalanan spiritual wanita moden.

The Orchid Journey menampilkan 10 episod di Tokyo dan 10 episod di Bandung, menjadikannya antara travelog inspirasi wanita paling komprehensif ketika ini.
Siri ini akan mula ditayangkan pada 5 Januari 2026 di saluran YouTube Skyhill Clinic, satu jemputan untuk sesiapa yang mencari inspirasi, pengisian, atau sekadar ingin menyaksikan bagaimana sebuah perjalanan mampu menyentuh jiwa.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi, Bahagian Pemasaran Skyhill Clinic di skyhillclinic.marketing@gmail.com atau layari laman sesawang www.skyhillclinic.com.

