Lagu-lagu ikonik daripada drama Korea kegemaran ramai bakal menakluk pentas di seluruh Asia melalui Konsert OST KOREA (KOSTCON 2025 TOUR).
Pementasan yang dijangka mendapat sambutan luar biasa ini merupakan sebuah kerjasama penting di antara Korea Management Federation (KMF), Hi Five Entertainment Sdn. Bhd, dan Kelebrity Worldwide Inc.
Konsert jelajah yang akan singgah di beberapa buah negara ini menjanjikan pengalaman luar biasa yang mempamerkan kuasa muzik K-drama.
Majlis menandatangani perjanjian rasmi telah pun berlangsung dengan jayanya pada 14 Mac lalu, bertempat di Grand Walkerhill Hotel Seoul.
Acara ini diketuai oleh Korea Management Federation (KMF), yang dipengerusikan oleh Yu Jai-woong, yang menyelia senarai artis, dan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat hiburan global Hi Five Entertainment Sdn. Bhd yang diketuai oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Sean Pereira.
Manakala Kelebrity Worldwide Inc, di bawah pimpinan CEO David Shin bertindak sebagai firma pengeluaran acara dan konsert antarabangsa.

Acara ini menekankan komitmen Kelebrity Worldwide Inc, Hi Five Entertainment Sdn. Bhd, dan Korea Management Federation untuk memastikan projek bercita-cita tinggi ini meraih kejayaan.
Matlamat bersama mereka adalah untuk memperluaskan jangkauan global OST K-drama dan menggalakkan penglibatan yang lebih mendalam dengan audien antarabangsa.
Konsert jelajah ini menjanjikan pengalaman yang mengasyikkan, melalui persembahan langsung, visual menakjubkan, serta penceritaan yang penuh penghayatan.
KOSTCON 2025 akan menampilkan barisan artis OST ternama, termasuk:
• Baek Ji Young (“That Woman” – Secret Garden)
• Heize (“Can You See My Heart” – Hotel Del Luna)
• Lyn (“With You” – Descendants of the Sun)
• Lee Mujin (“Lilac” – Love Your Enemy)
• K.Will (“Beautiful Moment” – Masterpiece)
Pengarah Urusan Kumpulan Hi Five Entertainment Sdn. Bhd, Sean Pereira meluahkan keterujaannya terhadap kerjasama ini.
“Kerjasama impian seperti ini membolehkan Hi Five Entertainment Sdn. Bhd dan Kelebrity Worldwide Inc. memecahkan tembok hiburan melalui kerjasama lintas negara.”
“Kami telah bekerjasama rapat selama lebih 16 bulan untuk membangunkan sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini, menarik dan mengekalkan segmen pasaran baru. Projek ini dapat direalisasikan dengan sokongan dan kerjasama daripada Korea Management Federation.”
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi Yu dari Korea Management Federation dan CEO David Shin dari Kelebrity Worldwide Inc. kerana mengetuai pasukan mereka untuk merealisasikan projek ini. Kami berharap agar jelajah KOSTCON 2025 dapat dilaksanakan dengan jayanya!”
Sementara itu, Pengarah Kelebrity Worldwide, Min-chul Kim menekankan kepentingan acara ini dengan mengatakan bahawa K-pop telah pun mengukuhkan diri sebagai industri global yang dominan, tetapi K-drama dan filem juga menerima pengiktirafan antarabangsa yang meluas.
“Konsert OST lima negara ini menawarkan peluang unik kepada penonton untuk menghidupkan semula emosi drama kegemaran mereka dalam konteks visual dan muzik yang mengasyikkan secara langsung dan imersif. Menerusi gabungan hebat visual dan muzik, yang mengatasi halangan bahasa, kami berhasrat untuk menguatkan pengaruh gelombang Hallyu.”
KOSTCON 2025 menjanjikan siri persembahan yang menakjubkan. Selain itu, setiap konsert akan dihoskan oleh tetamu istimewa dari negara masing-masing agar konsert ini lebih dekat di hati penonton tempatan.
Penganjur telah menyatakan keyakinan mereka bahawa acara ini akan menjadi lembaran baharu dalam globalisasi hiburan Korea, menawarkan perspektif baharu tentang bagaimana K-drama dan muzik mereka boleh terus memikat penonton di seluruh dunia.
Tarikh & Lokasi Jelajah:
Konsert KOSTCON 2025 akan memulakan jelajah ke lima negara Asia:
● Jakarta, Indonesia – 2 Ogos 2025
● Manila, Filipina – 6 Ogos 2025
● Dubai, UAE – 5 September 2025
● Bangkok, Thailand – 20 September 2025
● Penang, Malaysia – 25 Oktober 2025
Untuk perkembangan terkini, sila ikuti akaun media sosial KOSTCON 2025, https://www.instagram.com/kostcon_official/

