Terletak di salah satu pulau popular di Malaysia, Aloft Langkawi Pantai Tengah merupakan salah satu hotel ideal untuk mereka yang mengimpikan sebuah penginapan yang tidak terlalu hampir dengan tumpuan pelancong, tapi cukup dekat dengan pantai.

Menjanjikan percutian bergaya moden, santai, dan selesa, Aloft Langkawi Pantai Tengah punya pakej lengkap. Dengan gabungan elemen kontemporari, lokasi strategik, serta pelbagai fasiliti mesra keluarga dan pasangan, hotel ini menawarkan sebuah pengalaman, bukan sekadar tempat untuk bermalam.

Rekaan moden, suasana tropika

Aloft Langkawi tampil berbeza dengan rekaan dalaman bergaya urban dengan sentuhan warna-warna ceria yang menyegarkan mata. Suasana santai, namun bergaya menjadikannya pilihan ideal untuk golongan muda, pasangan yang berbulan madu mahupun yang berkeluarga.

Satu keistimewaan Aloft Langkawi Pantai Tengah ialah 75 peratus daripada 203 buah bilik dan suite yang ada, menawarkan pemandangan indah Laut Andaman. Dengan gaya loft, setiap bilik tampil dengan siling tinggi, dan balkoni yang luas, menyeimbangkan gaya dengan keselesaan dan fungsi.

Tetamu boleh pilih antara bilik Loft Garden, Loft Rainforest, dan Loft Seaview, atau memilih Breezy Room yang dilengkapi balkoni besar serta dua dek berjemur.

King Suite
Breezy Room
Balcony view Room

Untuk penginapan yang lebih eksklusif, Sweet Suite menawarkan ruang tamu berasingan dan tab mandi untuk berendam, sesuai bagi merehatkan diri selepas seharian meneroka pulau.

Semua bilik dilengkapi Wi-Fi berkelajuan tinggi, skin TV pintar 49-inci, serta kemudahan Dry Bar® premium yang terdiri daripada syampu, perapi, gel mandian, sabun tangan dan losyen badan.

Untuk tetamu yang mempunyai anak-anak kecil, terdapat program ‘Camp Aloft’ yang tersedia secara percuma untuk kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun.

Menerusi program ini, anak-anak anda boleh menikmati pengalaman perkhemahan dalam bilik, lengkap dengan khemah mini, tilam angin, dan snek alu-aluan.

Untuk lebih keselesaan, boleh juga tempah salah satu daripada tiga bilik bertema, iaitu Dino, Ocean, atau Rainforest, yang direka untuk menampung sehingga dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak.

Bilik dengan tema Rainforest

Bilik-bilik ceria ini dilengkapi katil king, katil dua tingkat yang selesa, serta dinding mural yang berfungsi sebagai permainan pencarian harta karun interaktif. Anak-anak anda boleh menemui ‘harta karun’ tersembunyi di dalam peti khas. Seronok bukan?

Berehat, menjamu selera dan merawat diri sepuas-puasnya

Salah satu tarikan utama di Aloft Langkawi adalah kolam renang infiniti yang menghadap Laut Andaman, lokasinya sempurna untuk beristirahat sambil menyaksikan matahari terbenam.

Terdapat juga kolam kanak-kanak dan Kids’ Club yang dipenuhi aktiviti menarik untuk si kecil. Bagi mereka yang ingin kekal aktif, silakan ke pusat kecergasan Re:charge yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden.

Jika idamkan rawatan badan untuk memanjakan diri, boleh tempah sesi spa dari Alun Alun Spa Langkawi yang merupakan rakan kerjasama hotel ini.  

Daripada urutan kaki yang menenangkan, skrub badan yang menyegarkan, hinggalah ke urutan badan yang benar-benar merehatkan, semuanya tersedia untuk anda melegakan stress.

Untuk pilihan menjamu selera, Restoran Nook menyajikan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa secara bufet mahupun à la carte.

Mulakan hari anda dengan sarapan pagi yang berkualiti sebelum anda memulakan pengembaraan di pulau lagenda. Sempena merdeka kali ini, Nook membawakan Hi-Tea Merdeka yang hanya berharga RM80 untuk dua orang.

Dengan harga ini, anda dan teman boleh menikmati hidangan tempatan dengan sentuhan istimewa Aloft. Antara yang menanti ialah satay kambing berjus dengan ketupat palas, murtabak ayam berkeju dengan acar bawang, udang percik di atas kanapé keju ricotta, karipap pusing rangup, dan roti jala yang membalut daging brisket dendeng yang empuk.

Tidak ketinggalan, pemanis mulut yang menjadi kegemaran ramai iaitu onde-onde, tart keju nanas bermentega, crème brulee Bunga Telang dan cendol.

Satu lagi hidangan yang anda mesti cuba ialah stimbot makanan laut. Dengan pilihan sup ayam dan tomyam, hidangan ini ‘perfect’ untuk mengisi perut yang sedang kelaparan setelah seharian berada di luar. Selain menyajikan sup tomyam ‘terangat’, bahan-bahan lain juga segar dan mewah.

Tarikan berhampiran

Terletak hanya 200 meter dari Pantai Tengah, hotel ini juga hanya beberapa minit dari tarikan utama Langkawi seperti:

* Pantai Cenang – lokasi terkenal untuk beli-belah, makanan jalanan, dan hiburan malam.

* Underwater World Langkawi – akuarium interaktif yang sesuai untuk keluarga.

* Langkawi Sky Bridge dan kereta kabel – pemandangan panoramik yang wajib dikunjungi.

* Pasar malam tempatan – peluang mencuba pelbagai makanan tempatan dan membeli cenderamata.

Hotel ini juga menyediakan bantuan tempahan lawatan, termasuk lawatan mangrove, zipline, lawatan pulau ke pulau (island hopping), dan pelbagai aktiviti air.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, anda boleh ke laman web rasmi Aloft Langkawi Pantai Tengah, atau hubungi mereka di 04 952 5252.

Share:
, , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah