Selepas lima tahun, penyanyi, Imran Ajmain tampil dengan sisi berbeza menerusi lagu Padam Dan Pergi yang secara rasmi meluncur di semua platform digital pada 19 Januari 2024.

Padam Dan Pergi merungkai hubungan kompleks yang tidak kena haluan, dengan lirik ringkas yang menyentuh, menggambarkan dia sebagai seorang kekasih yang rentan mencari babak baru dalam hidupnya.

Malah menariknya, menerusi Padam Dan Pergi juga, Imran turut meneroka nuansa muzik baharu dengan kolaborasi dengan komposer muda, Ahmadul Amin yang turut menampilkan gaya muzik yang berbeza daripada sebelum ini.

“Sebagai penyanyi-penggubah lagu lebih cenderung kepada pop-balada, selama ini saya tak pernah guna bunyi-bunyi gitar elektrik. Padam Dan Pergi adalah pemisahan daripada gaya biasa saya.

“Lagu ini mencerminkan perkembangan peribadi dan muzikal bagi saya, meneroka stail baru dalam bunyi dan penceritaan. Saya mahukan perubahan ketara dari bunyi-bunyi, tempo lagu, tema yang diketengahkan.

“Tambah lagi, pakaian dan warna digunakan untuk visual juga serba baharu dan segar untuk saya. Gitar elektrik mengambil peranan utama, menambah dimensi segar kepada repertoire muzikal saya,” kongsi penyanyi Seribu Tahun itu.

Ditanya tentang pemilihan komposer dan penyanyi muda, Ahmadul Amin sebagai rakan komposer, Imran menjawab;

“Ahmadul Amin, seorang produser genre pop-rock-folk yang dapat menyesuaikan stail saya dengan cara baru tanpa mengubah signature cara penulisan dan cara nyanyian saya.

“Menerusi lagu ini, saya mahu mengajak pendengar bersama dalam perjalanan mengenal pahit manis cinta, menghapuskan masa lalu dan merangkul janji masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Tidak hanya naskhah lagu baharu yang dipersembahkan, tahun ini juga memercik warna gemilang dalam diari seni Imran apabila dia buat pertama kalinya memanggung secara solo di rumah keduanya, Malaysia menerusi Konsert Malam Seribu Tahun Imran Ajmain: Kuala Lumpur.

Konsert yang bakal berlangsung di The Platform, Menara Ken, TTDI pada 2 dan 3 Februari 2024 itu juga mencipta sejarah tersendiri apabila tiket habis dijual dalam tempoh satu jam selepas penjualan dibuka.
Kegemilangan siri Konsert Malam Seribu Tahun Imran Ajmain bermula di tanah kelahirannya, Singapura yang turut habis dijual dan berlangsung dengan jayanya pada 12 Januari lalu.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah meletak impian untuk buat konsert dengan kehadiran lebih daripada konsert sebelum ini. Dulu puluhan dan mungkin 100 orang, maksimum.

“Persembahan saya yang terakhir di Singapura dahulu merupakan sebuah showcase dan bukan konsert kerana skalanya lebih kecil berbanding apa yang baru saya persembahkan di Singapura beberapa minggu lalu dan bakal adakan di Kuala Lumpur minggu ini,” jelasnya saat ditemui di sidang media baru-baru ini.

“Untuk konsert di Kuala Lumpur pula, konsep “intimate” sama seperti di Singapura. Tetapi pemilihan lagu ada sikit berbeza. Nantikan,” ujarnya.

Istimewanya, Konsert Malam Seribu Tahun Imran Ajmain turut menjadi pentas pemula untuk dua artis baharu yang mempunyai impian sama mewarnai kanvas seni tanah air dan antarabangsa.

Untuk info, Konsert Malam Seribu Tahun Imran Ajmain adalah pertunjukan pertama dalam siri persembahan artis dan band Malaysia, Singapura, Indonesia yang dipanggil Satu Malam Di Singapura.
Siri konsert tersebut dianjurkan oleh Elmi Elmo dan Hashtag Media (Malaysia) bekerjasama dengan Gumbira dan A’Art (Singapura) di Victoria Theatre, Singapura.

Share:
, , , , ,
You may also like
Latest Posts from Travellah