Bila bercerita kepada rakan-rakan  yang saya akan ke Sabah Safari, ramai yang pelik dan tertanya-tanya. “Dekat Sabah ada safari ke? Dekat mana?” Itu adalah reaksi mereka. Itu belum lagi beritahu tentang lokasi, hampir semua tidak tahu atau tidak pernah dengar tentang Hutan Sukau di Sungai Kinabatangan. Jujur, saya sendiri tidak tahu tentang Sabah Safari atau Hutan Hujan Sukau sehingga dimaklumkan oleh kawan dari Jerman. Maka kami membuat keputusan untuk “Borneo Trip” selama 16 hari yang  bermula di Sandakan, Sabah dan berakhir di Kuching, Sarawak.

Seperti di Afrika, mencari “The Big Five” adalah benda wajib untuk setiap safari adventure, begitu juga di Sabah. Lima binatang yang mesti ditemui adalah buaya, orang utan, monyet belanda, burung kenyalang “rhinoceros” , dan gajah Borneo atau dikenali sebagai Pygmy elephant. Gajah ini adalah yang terkecil di dunia dan hanya boleh ditemui di Kepulauan Borneo sahaja.

Bahagian pertama trip selama 5hari 4 malam diuruskan oleh Borneo Eco Tours untuk pengembaraan di Sukau. Manakala, Borneo Nature Tours menguruskan perjalanan di Danum Valley. Maka cerita perjalanan saya untuk Sabah Safari terbahagi kepada dua bahagian.

Semalam di Sandakan

Terdapat pelbagai pakej yang disediakan, kami memilih 5hari 4malam untuk pengalaman pertama “Sabah Safari”. Harga pakej bergantung kepada bilik yang dipilih. Lagi mewah bilik, lagi mahal harga pakej. Semua trip bermula di Sandakan, maka kami memilih sampai sehari lebih awal untuk mengelakkan sebarang perkara tak terjangka. Lagipun saya dan rakan tidak pernah ke Sandakan. Kami tiba waktu tengahari di sana, lebihan masa digunakan untuk mengintai Bandar Sandakan.

Untuk pengetahuan anda, Sandakan adalah antara kawasan yang teruk diserang oleh pihak Jepun sewaktu perang dunia kedua. Ribuan nyawa hilang dan menjadi tawanan perang.

Dan pengembaraan pun bermula

Itinerari untuk hari pertama pada awal pagi adalah melawat Orang Utan di Sepilok dan Pusat Konservasi Beruang Matahari (Sunbear Conservation). Nothing adventures tetapi menarik juga untuk pengamatan saya kerana dapat melihat kedua-dua haiwan ini dengan lebih dekat. Selesai aktiviti ini, kami terus ke jeti untuk perjalanan selama 2 jam 30 minit untuk ke Sukau Rainforest Lodge dengan menaiki bot laju menyusuri sungai Kinabatangan, sungai terpanjang di Sabah dan kedua terpanjang di Malaysia.

Perjalanan menyusuri paya bakau, hutan dan juga perkampungan masyarakat etnik Sabah, satu pemandangan yang menarik.

Sejam perjalanan, pemandu bot memperlahankan bot, rupanya beliau ternampak Orang Utan di atas pokok. Put aside Sepilok Orang Utan, give me the wild one. Excited dia tidak boleh digambarkan. Walaupun kurang jelas dek ketinggian pokok. Untuk pengetahuan anda, Orang Utan adalah sejenis introvet, suka bersendirian. Malah tempat tidur mereka pun sering bertukar hampir setiap hari dan bergerak secara sendiri atau dalam kumpulan yang sangat kecil – dua atau tiga ekor sahaja.

Orang Utan kelihatan disebalik ranting pokok

Tidak sampai 30 minit perjalanan diteruskan, kami berhenti lagi di tengah sungai, ingatkan apa tadi, rupanya terdapat seekor buaya di tebing sungai. Kali ini excited, terkejut dan takut pun ada. Walaupun tidak besar, tetap ada kegusaran dalam hati. Ternyata apa yang dibayar sangat berbaloi iaitu untuk melihat “The Big Five” di habitat mereka. Ini baru dalam perjalanan ke tempat penginapan, sudah jumpa 2 dari 5 “The Big Five”, ada tiga lagi.

Buaya Air Masin di Sungai Kinabatangan

Kami tiba di Sukau Rainforest Lodge sekitar jam 4 petang. Selepas check-in into my gorgeous villa, aktiviti diteruskan dengan evening cruise. Di Sabah, malam lebih awal dari Semenanjung, maka evening cruise bermula sekitar jam 5 petang. Evening cruise menggunakan bot laju bersama dengan pemandu pelancong yang berpengalaman. Antara binatang yang ditemui adalah monyet belanda dan juga burung kenyalang.

Senja di Kinabatangan

MENYUSURI SUNGAI DAN HUJAN LEBAT

Hari kedua di Sukau, cuaca tidak menyebelahi kami. Hujan di sebelah petang, aktiviti menyusuri sungai cuma boleh dilakukan pada sebelah pagi.  Pemandu pelancong membawa kami ke hilir sungai, jauh ke dalam untuk mencari lebih banyak binatang. Gajah Borneo tidak kelihatan memandangkan hari hujan.

Pulang ke lodge, kami banyak habiskan masa di lounge, berehat sambil mencuba pelbagai jenis pakaian tradisi etnik di Sabah. Sedang leka di lounge, pemandu pelancong memaklumkan ada Orang Utan datang melawat. Hati berbunga riang. Untuk pengetahuan anda, ini adalah perkara biasa kerana Hutan Hujan Sukau mempunyai bilangan Orang Utan tertinggi berbanding kawasan lain di Sabah.

Keesokkan harinya di sebelah pagi kami sudah bersedia untuk daftar keluar dan meneruskan perjalanan ke Lembah Danum. Perjalanan ke Lembah Danum mnegambil masa 5 jam keseluruhan termasuk pit stop di Lahad Datu.

Adakah kami dapat jumpa Gajah Borneo di Lembah Danum? Jom baca bahagian ke-2 ‘Sabah Safari’

Share:
,
You may also like
Latest Posts from Travellah