Di antara banyak-banyak adiwira ciptaan dunia komik Marvel, Ant-Man mungkin tidak sepopular rakan-rakan seangkatannya yang lain, namun saya secara peribadi meminati watak unik ini.

Berbanding adiwira Marvel lain, Ant-Man pada saya mempunyai kuasa yang berbeza dan sangat praktikal. Malah kelebihan kuasa luar biasanya lebih bagus untuk tujuan mempertahankan diri dan menyelamatkan orang.

Jadi, kemunculan filem Marvel terbaharu iaitu Ant-Man and The Wasp : Quantumania ini benar-benar sesuai ditonton buat peminat tegar Ant-Man dan The Wasp seperti saya.

(L-R): Michael Douglas as Dr. Hank Pym, Evangeline Lilly as Hope Van Dyne/Wasp; Michelle Pfeiffer as Janet Van Dyne/Wasp in Marvel Studios’ ANT-MAN AND THE WASP: QUANTUMANIA. Photo courtesy of Marvel Studios. © 2022 MARVEL.

Dalam filem kali ini, peminat Ant-Man dan The Wasp akan dapat menyaksikan lebih banyak kehebatan mereka berdua menggunakan kuasa masing-masing untuk mempertahankan diri dan menyelamatkan dunia.

Namun dunia yang dimaksudkan kali ini agak berbeza dengan dunia umum yang kita ketahui.

Premis filem membawa penonton ke alam kuantum saat kesemua watak utama iaitu Scott Lang (Paul Rudd) Hope Van Dyne (Evangeline Lilly) Janet Van Dyne (Michelle Pfeiffer) Hank Pym (Michael Douglas), dan anak perempuan Scott, Cassie Lang (Kathryn Newton) yang kini sudah remaja, terjerumus ke alam kuantum secara tidak sengaja.

(L-R): Paul Rudd as Scott Lang/Ant-Man and Kathryn Newton as Cassandra “Cassie” Lang in Marvel Studios’ ANT-MAN AND THE WASP: QUANTUMANIA. Photo courtesy of Marvel Studios. © 2022 MARVEL.

Ini terjadi gara-gara kesilapan teknikal sewaktu Cassie menjalankan eksperimen untuk mengenali serta mengkaji alam kuantum yang dahulu pernah didiami oleh Janet, ibu kepada The Wasp, iaitu Hope.

Rupa-rupanya alam kuantum tersebut didiami oleh pelbagai makhluk hidup lain dan ada tamadun-tamadun tersendiri.

Malah, di dunia itu ada konspirasi tersembunyi yang didalangi oleh seorang penjahat dunia luar bernama Kang yang turut terperangkap seperti Janet satu ketika dahulu.

Di sinilah jalan cerita menjadi menarik saat Janet menceritakan kisah sebenar yang terjadi di alam kuantum sebelum dia diselamatkan oleh anaknya Hope dalam filem sebelumnya.

(L-R): Paul Rudd as Scott Lang/Ant-Man in Marvel Studios’ ANT-MAN AND THE WASP: QUANTUMANIA. Photo courtesy of Marvel Studios. © 2022 MARVEL.

Sekali imbas filem ini akan mengingatkan penonton kepada filem-filem sains fiksyen bertema angkasa lepas lain seperti Star Wars, Star Trek dan seumpamanya.

Ini kerana filemnya berteraskan dunia yang dipenuhi makhluk asing dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Malah kehadiran kapal angkasa dan unsur-unsur lain menguatkan lagi idea ini.

Walau bagaimanapun, saya berpendapat tema ini menjadikannya lebih menarik.

(L-R): Jonathan Majors as Kang The Conqueror in Marvel Studios’ ANT-MAN AND THE WASP: QUANTUMANIA. Photo courtesy of Marvel Studios. © 2022 MARVEL.

Dengan lebih banyak unsur dunia asing, kesan visual yang dipaparkan tampak lebih cantik dan penggarap kisah ini berjaya menyuntik gambaran dunia baharu asing yang lebih indah dan luar biasa.

Peminat juga mungkin akan kagum dengan pengembangan watak anak Scott Lang, iaitu Cassie yang juga sudah beraksi menjadi seorang adiwira yang berwibawa dan berkebolehan.

Ia juga memberi kesempatan kepada Hank Pym serta Janet Van Dyne yang merupakan Ant-Man serta The Wasp asal, untuk menunjukkan kebolehan mereka beraksi.

Jadi pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan Ant-Man and The Wasp : Quantumania di semua pawagam di Malaysia bermula 16 Februari 2023.

Share:
,
You may also like
Latest Posts from Travellah