Menu
Gaya & Culture

PEMENTASAN ODISSI ‘JAYA RAM’ OLEH YAYASAN SUTRA MENGUSIK JIWA PEMINAT SENI DAN PENGUNJUNG KLPAC

Tradisi harus kekal dinamik untuk berkembang seiring dengan masa. Jaya Ram adalah manifestasi kemodenan dan kekinian yang boleh mengambil tempat dalam elemen tradisional. Produksi Odissi terbaru oleh Yayasan Sutra yang baru sahaja selesai dipentaskan di KLPAC selama lima malam berturut-turut (21 – 25 September 2022) dengan bijak mendatangkan semula interpretasi mistik Lord Rama – protagonis legenda turun temurun kisah Ramayana, melonjakkan Odissi ke sebuah tahap kreativiti yang lebih tinggi.

Produksi tersebut bukan sahaja menampilka lebih dari 20 penari di bawah kelolaan Sutra Dance Theatre dan Sutra Outreach Programme, bahkan lima pemuzik yang dibawa secara khas daripada Odisha, India – tanah kelahiran Odissi, di mana mereka telah mengabdikan kehidupan mereka buat seni muzik klasik India. Jaya Ram digubah cantik oleh Guru Gajendra Kumar Panda, salah seorang koreografer Odisha yang terkenal dengan kehandalan beliau, disamping bergelar rakan usaha sama Sutra selama empt dekad lamanya.

Kombinasi pengarahan artistik oleh Guru Gajendra Panda dan Datuk Ramli Ibrahim menonjolkan manifestasi trans-budaya dua negara iaitu Malaysia dan India. Menurut Datuk Ramli Ibrahim, “Semua aspek komposisi muzik, libretto dan busana diserahkan kepada pakar-pakar terkemuka dalam bidang masing-masing di Odisha dan kami di Malaysia pula mengambil alih aspek tarian, teknikal, komposisi persembahan dan pengurusan. Kerjasama ini bukanlah suatu yang baru bagi kami di Sutra namun untuk Jaya Ram, usahasama ini semakin erat terbentuk lebih-lebih lagi dalam suasana post-pandemic di mana pergerakan di antara negara masih lagi terbatas”.

Malam pembukaan Jaya Ram pada 21 September 2022, yang diserikan dengan kehadiran Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Yang Berhormat Shri BN Reddy telah menyaksikan penonton amat terpesona dengan naratif cemerlang dan keeleganan para penari Sutra. Jaya Ram membangkitkan karakter-karakter dan episod-episod seputar chaukas (daya tumpuan) Odissi dan tribhangas (posisi tubuh) tarian yang asli. Dalam separuh masa pertama, para penonton dibuai dengan adunan rasa (emosi) dan fizikaliti tarian yang bersilih ganti dengan sempurna. Segala episod dan karakter saling muncul dan menghilang, membibitkan kerinduan terhadap pengimejan yang berkaitan dengan Ramayana dengan nilai-nilai nostalgia. Manakala separuh masa kedua pula menampilkan perjalanan menuju elemen kesedaran yang dipertingkatkan apabila keyakinan dan pembentukan semula nilai-nilai dan beberapa kejadian mengambil tempat dengan penuh halus. Kemuncaknya, seseorang dapat menikmati moksha (tahap tertinggi kebebasan dan kesejahteraan).

Jaya Ram adalah produksi Odissi terbesar bagi tahun ini buat Sutra. Jelas Datuk Ramli Ibrahim lagi, “Para penonton yang arif dengan seni akan menikmati pendekatan moden yang cukup kuat dalam format Odissi yang secara umumnya bersifat tradisional. Jaya Ram memanfaatkan sebaik mungkin bakat 24 penari yang terlibat dalam produksi ini. Selain persembahan solo dari penari prinsipal Sutra, penggunaan koreografi berkumpulan telah menjadi kelaziman Sutra buat berdekad lamanya. Aura produksi kami sememangnya seiring dengan perjalanan seni Sutra dan saya sendiri sebagai pengasas. Sukar untuk saya takrifkan dengan lebih lanjut memandangkan ia adalah ‘X-factor’ Sutra yang menjadikan pengalaman menonton persembahan Sutra sebagai sebuah pengalaman yang mengujakan dan penuh dengan kejutan!”

“Jaya Ram yang sememangnya dinantikan ramai ini juga merupakan satu keraian yang cukup sesuai untuk menyambut hubungan diplomatik Malaysia dan India yang telah terjalin selama 65 tahun. Selepas persembahan perdana ini di Malaysia, pertunjukan tarian ini akan dipersembahkan dalam siri kunjungan ke India dan juga Singapura. Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Arts For All Seasons (ArtsFAS), inisiatif kendalian Yayasan Hasanah untuk memelihara dan meraikan seni, yang sememangnya telah memainkan peranan penting dalam penganjuran acara ini dan membolehkan kami untuk terus menginspirasikan generasi baharu artis visual dan seni persembahan. Setelah usai lima malam persembahan yang menyaksikan KLPAC dipenuhi dengan peminat-peminat seni Malaysia dan antarabangsa, saya amat bersyukur sekali. Sesungguhnya masih ramai yang inginkan naskhah seni seperti ini dan ternyata masih ada harapan buat para penggiat seni Malaysia terutamanya dengan sokongan dari pihak atasan”.

Layari www.facebook.com/sutrafoundation untuk maklumat lanjut atau ikuti @sutradancetheatre di Instagram.

No Comments

    Leave a Reply